Ibadat Sembahye
Wednesday, June 7th, 2006(1)TAKRIF IBADAT
Ibadat bermaksud pengabdian hamba kepada Allah swt. berdasarkan apa yang diperintahkan dan menjauhi segala larangan sebagai mendekati diri kepada Allah swt. serta mendapat ganjaran daripadanya.
Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu.
(2)SYARAT WAJIB SOLAT
Syarat wajib solat maksudnya apabila seseorang itu mempunyai syarat-syarat yang disebutkan nanti wajiblah mereka itu mendirikan solat. Dalam erti kata lain, bahawa seseorang itu apabila cukup syaratnya akan diseksa dengan api neraka jahanam sekiranya tidak mengerjakan ibadat solat.
Syaratnya ada tiga perkara:
·Islam
·Baligh
·Berakal
Kanak-kanak yang telah berumur tujuh (7) tahun hendaklah disuruh mengerjakan solat dan setelah berumur sepuluh (10) tahun bolehlah dipukul sekiranya masih belum bersolat. Maksud sabda Rasulullah saw.
“Suruhlah kanak-kanak mengerjakan solat apabila berumur tujuh (7) tahun dan apabila sampai sepuluh (10) tahun maka pukullah (sekiranya tidak solat)”
(3)SYARAT SAH SOLAT
Syarat sah solat bermaksud hendaklah ada syarat-syarat yang akan diterangkan barulah solat itu sah. Dalam erti kata sekiranya salah satu di antara syarat ini tiada maka solat itu tidak sah. Syarat sah solat ada lima perkara:
1.Mengetahui masuknya waktu dengan yakin
2.Mengadap kiblat semasa mengerjakan solat bagi orang yang boleh melakukannya. Diberi kelonggaran ke atas orang yang uzur sakit yang tidak terdaya melakukannya. Menghadap kiblat dimaksudkan ialah dengan dada sahaja
3.Menutup aurat sama ada di tempat sunyi atau di tempat awam/ramai.
Aurat lelaki adalah dari lutut hingga pusat. Aurat perempuan ialah
seluruh badan kecuali muka dan dua pergelangan tangan
4.Suci dari najis baik dari segi pakaian mahu pun anggota badan dan juga tempat. Maksud tempat ialah tempat berdiri dua kaki, tempat sujud, tempat letak tangan dan juga tempat letak dua lutut
5.Suci dari hadas ertinya ia telah pun berwuduk dan juga telah mandi hadas
(4)RUKUN SOLAT
Rukun solat ada tiga belas (13):
1.Niat
2.Takbiratul-Ihram
3.Berdiri betul bagi orang yang berkuasa
4.Membaca al-Fatihah
5.Rukuk serta tumakninah
6.Iktidal
7.Sujud
8.Duduk antara dua sujud dan tumakninah
9.Tahiyat/Tasyahud akhir
10.Duduk Tahiyat Akhir
11.Selawat ke atas Nabi Muhammad saw.
12.Salam pertama
13.Tertib
(i)Niat di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh mulut itu tidaklah dipanggil sebagai niat. Niat berlaku semasa seseorang mengangkat takbiratulihram iaitu tatkala ia mengata Allahu Akhbar maka hatinya berkata;
·Sahaja aku solat Fardu Zuhur 4 rakaat tunai kerana Allah Taala
·Sahaja aku solat Fardu Asar 4 rakaat tunai kerana Allah Taala
·Sahaja aku solat fardu Maghrib 3 rakaat tunai kerana Allah Taala
·Sahaja aku solat fardu Isyak 4 rakaat tunai kerana Allah Taala
·Sahaja aku solat Fardu Subuh 2 rakaat tunai kerana Allah Taala
(ii)Takbiratul-Ihram iaitu Allahu Akbar yang dikehendaki dengan takbiratul ihram ialah semasa ia memulakan bacaan tersebut maka haramlah ia melakukan sesuatu kecuali apa yang menjadi kewajiban dalam solat. Perkataan Allahu Akbar itu tidak boleh ditukar dengan yang lain.
(iii)Berdiri betul bagi orang yang berkuasa. Sekiranya ia berdiri tetapi condong ke hadapan, ke belakang, ke kanan atau ke kiri hingga tidak dapat dinamakan sebagai berdiri maka hukumnya tidak sah. Sekiranya tidak sanggup berdiri bolehlah dilakukan secara duduk, baring maring sebelah kanan, kiri, menelentang atau sekadar yang ia boleh melakukannya.
(iv)Membaca al-Fatihah. Membaca al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat dan Bismillah adalah satu daripada ayat fatihah. Perlu diingatkan bahawa wajib memelihara segala makhraj dan tawjid fatihah. Tetapi sekiranya memang tidak boleh ditentukan maka ada pendapat yang mengatakan solatnya sah.
(v)Rukuk serta tumakninah. Sekurang-kurangnya rukuk ialah membongkokkan belakangnya sampai dua tangannya dapat meletakkan ke atas dua kepala lututnya serta tumakninah iaitu berhenti sebentar sekadar bacaan Subhanallah, sedang anggota-anggota berat hendaklah berhenti. Anggota berat yang dimaksudkan termasuk kedua tangan termasuk pergelangan tangan, kepala, kaki. Sekiranya anggota ini masih bergerak tanpa berhenti maka tidak lagi dikira sebagai tumakninah.
(vi)Iktidal. Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk dan tumakninah.
Oleh itu apabila iktidal hendaklah semua anggota berat berhenti sebentar sebagaimana yang telah diterangkan di atas.
(vii)Sujud. Sekurang-kurangnya sujud meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi itu mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Kecuali sekiranya terpaksa seperti dahi dibalut kerana luka dan sebagainya tidak wajib dibuka. Dahi yang berlapik dengan songkok dengan sengajal tanpa sebab adalah tidak sah sujud. Anggota sujud adalah tujuh:
1.Dahi
2.Dua tapak tangan
3.Dua lutut
4.Dua perut jari kaki
(viii)Duduk di antara dua sujud dan tumakninah. Mengangkat kepala dan badan untuk duduk di antara dua sujud ini mestilah mengandungi tujuan. Oleh itu, sekiranya mengangkatnya kerana tujuan lain umpamanya mengelakkan daripada binatang maka hendaklah ia kembali sujud semula. Duduk antara dua sujud merupakan rukun pendek maka tidak boleh dipanjangkan masa duduk.
Sunat membaca doa ketika sujud:
“Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah
darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku”
(ix)Tahiyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyat akhir juga hendaklah dipelihara segala bacaan di dalamnya. Terjemahan maksud bacaan adalah berikut:
“Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang salih. Aku naik
saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya
Muhammad itu adalah persuruh Allah”
(x)Duduk ‘Tahiyat akhir’. Ertinya tidaklah boleh seseorang itu membaca ‘tahiyat’ sedang ia berdiri, sujud atau sebagainya.
(xi)Selawat ke atas Nabi Muhammad saw. sekurang-kurangnya; “ Allahum sali ‘ala Muhammad” terjemahannya adalah:
“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad”
(xii)Salam pertama. Sekurang-kurangnya salam: “assalamu alaikum” bermaksud “ Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah”
(xiii)Tertib. Segala rukun-rukun yang tersebut dari mula sehingga akhir sekiranya tertingal ketertiban itu maka solat itu tidak sah. Tertib bolehlah ditakrifkan sebagai yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.
(5)PERBUATAN-PERBUATAN SUNAT SEBELUM, SEDANG DAN SESUDAH SOLAT
(a)Sebelum Solat
1.Azan. Ertinya memberitahu dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu (sila rujuk sisipan saya yang bertajuk Panduan Azan bertarikh 10 September 2002, Selasa).
2.Iqamah
(b)Waktu melakukan ibadah solat
1.Sunat Haiah
2.Sunat Ab’adh
1.Sunat Haiah ada 15 perkara iaitu:
1.Mengangkat tangan ketika takbiratul Ihram, ketika rukuk, ketika
Iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua
2.Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan memegangnya dan meletakkannya dibawah dada atau di atas pusat
3.Membaca doa tawujud/iftitah
4.Membaca A’uzubillahi
5.Membaca al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat pada tempat-tempat atau waktu-waktu yang ditentukan
6.Membaca amin selepas fatihah
7.Membaca surah al-Quran
8.Membaca takbir ketika rukuk
9.Membaca tasbih ketika rukuk
10.Membaca tasbih ketika sujud
11.Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk
12.Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari kesemuanya
13.Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri kanan
14.Duduk Tawarr
(6)ADAB SOLAT
Sembahyang atau solat adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan sembahyang atau solat adalah satu dosa dan meruntuhkan tiang agama. Sabda Rasulullah saw. “Barang sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya ia adalah kafir yang nyata”.
Sembahyang atau solat itu perlu dilaksanakan dengan khusyuk dan teratur, agar ianya diterima oleh Allah swt. Firman Allah swt.
“Neraka Wail bagi mereka yang bersembahyang, yang mana ia lalai di dalam
solatnya” (Surah Al-Maun: 4-5)
Selain dari itu solat juga adalah identiti seorang Muslim yang dapat memisahkannya daripada orang kafir. Sabda Rasulullah saw. “Perpisahan antara seorang lelaki dengan syirik dan kufur itu ialah sembahyang” (HR Muslim)
“Permulaan seseorang hamba itu dihisab pada hari qiamat ialah solat. Maka jika baik solatnya, maka dikira baik seluruh amalnya. Jika buruk dan rosak solatnya, dikira rosak seluruh amalannya.” Jesteru itu, di dalam melakukan solat, wajib kita khusyuk. Bagaimana untuk khusyuk?
Untuk khusyuk di dalam solat, perlulah seseorang itu menjaga adab dan tatasusila di dalam solat. Di antaranya ialah:
1.Hendaklah bersikap merendah diri kepada Allah swt.
2.Sedarkan diri ketika hendak solat, iaitu dengan siapa kita sedang berhadapan, Allah swt.
3.Sentiasa melahirkan rasa takut kepada Allah swt. kerana dia sentiasa memerhatikan kita
4.Hadirkan hati di dalam solat yakni faham segala ucapan dan mengetahui hikmah segala pergerakan
5.Bersolat di dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh gapah
6.Tetap segala anggota, kepala, dua kaki dan tangan kerana anggota ini jika tidak dikawal, ianya mudah bergerak
7.Meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri dengan sempurna yakni seperti mayat yang hendak dikebumikan
8.Memikirkan segala ucapan dan isi bacaan Al Quran
9.Bertakbir dengan penuh rasa kebesaran dan kehebatan Allah swt.
10.Rukuk dengan merendahkan diri dan merasa hina diri seperti binatang ternak yang sama kedudukan punggung dengan kepalanya
11.Sujud dengan perasaan yang khusyuk dan menghina diri kepada Allah swt. kerana kedudukan punggung lebih tinggi daripada kepala
12.Bertasbih dengan merasakan kehebatan Allah swt.
13.Bertasyahud dengan memahami bacaan dan membuat pengakuan kepada Allah swt.
14.Memberi salam dengan perasaan memerlukan keselamatan dan kesejahteraan dari Allah swt.
15.Berpaling dari sembayang dengan rasa takut dan berusaha menuntut keredhaan Allah swt.
Bersabda Rasulullah saw. “Tiadalah seorang Islam itu yang menghadapai kedatangan waktu solat lalu dia mengambil wudhu dengan sempurna dan bersolat dengan khusyuk dan baik rukuknya melainkan solat itu akan menghapus dosa-dosanya sebelum ini selama dia tidak melakukan dosa besar. Yang demikian (penghapusan itu) adalah berlaku sepanjang tahun” (HR Muslim)
(7)MENINGGALKAN SOLAT
Rasulullah saw. bersabda “Perpisahan antara seorang lelaki dengan syirik
dan kufur itu ialah solat”
Meninggalkan sembahyang atau solat lebih besar dosanya dari perkara-perkara yang lain. Diriwayatkan ada seorang wanita datang berjumpa Nabi Allah Musa as. merayu kepadanya agar dapat memohon kepada Allah swt. mengampunkan kesalahan dan dosanya yang lalu. Nabi Allah Musa as. bertanya apakah dosa itu. Wanita itu menjawab ia sudah bersuami dan telah berzina dengan orang lain dan apabila telah melahirkan anak ia membunuh anak itu.
Mendengarkan pengakuannnya, Nabi Allah Musa as. berasa teramat marah lalu menghalau wanita tersebut. Dengan perasaan sedih, hampa dan kecewa terus pergi dari situ.
Tidak lama kemudian, tiba-tiba Nabi Allah Musa as. memanggilnya semula dan mengatakan bahawa Allah swt. telah mengampunkan dosanya. Maka bergembiralah wanita itu tadi denga rasa syukur. Nabi Allah Musa as. bertanya kepada Malaikat Jibril as. apakah dosa yang lebih besar dari itu. Maka jawab Jibril as. Dosa yang lebih besar ialah dosa orang yang meninggalkan sembahyang atau solat.
(8)AKIBAT MENINGGALKAN SOLAT
SIKSAAN KETIKA HIDUP DI DUNIA
1.Allah swt. mengurangkan keberkatan umurnya
2.Rezekinya dipersempitkan oleh Allah swt.
3.Tidak ada tempat baginya di sisi agama Islam
4.Hilang cahaya soleh dari wajahnya
5.Amal kebajikan yang dilakukannya langsung tidak diberi pahala
SIKSAAN KETIKA SAKHARATUL MAUT
1.Ia akan menghadapi sakharatul maut dalam keadaan hina
2.Matinya dalam keadaan menderita kelaparan
3.Matinya dalam keadaan yang tersangat haus walaupun diberi minum air sebayak tujuh lautan
SIKSAAN KETIKA DALAM KUBUR
1.Allah swt. akan menyempitkan kuburnya dengan sesempit-sempitnya
2.Kuburnya akan digelapkan
3.Allah swt. akan menyiksanya dengan pedih sehingga hari Qiamat
SIKSAAN KETIKA BERADA DI AKHIRAT
1.Ia akan dibelenggu dan diseret ke padang Mashyar oleh Malaikat
2.Allah swt. tidak akan memandangnya dengan pandangan belas kasihan
3.Allah swt. tidak akan mengampuni dosanya dan dia akan disiksa dengan keras di dalam neraka
(9)NISBAH DOSA MENINGGALKAN SEMBAHYANG
(i)Sembahyang Subuh
Ia akan disiksa selama 60 tahun di dalam Neraka (bersamaan 60,000 tahun dunia)
(ii)Sembahyang Zuhur
Dosanya seperti membunuh 1000 jiwa orang Islam
(iii)Sembahyang Asar
Dosanya seperti ia meruntuhkan Kaabah
(iv)Sembahyang Maghrib
Dosanya seperti ia berzina dengan ibunya (bagi lelaki) atau dengan ayahnya (bagi perempuan)
(v)Sembahyang Isyak
Allah swt. tidak redha ia hidup di bumi Allah swt. ini dan digesa agar ia
mencari bumi lain